Total Pageviews

Tuesday, November 2, 2010

Syukur, Alhamdulillah...

 Bila difikirkan semula, kenapa aku beria-ia hendak keluar dari alam sekolah harian? Hati kecilku memberitahu, aku kepingin hendak belajar Bahasa Arab. Ya, sejak khatam Al-Quran kali pertama ketika umurku telah mencecah 12 tahun, aku mula melagukan kalam Ilahi dengan berpandukan Tafsir Al-Quran. Setiap kali meneliti erti sebenar aksara-aksara yang telah disusun indah nian, aku tersentak. Ya Allah, banyak lagi yang perlu aku terokai untuk memahami kalamMu ini! Terkaanku, seseorang Muslim itu dikatakan Muslim yang sejati seandainya dia berkebolehan untuk membaca Al-quran dengan bertajwid. Realitinya, aku telah khilaf selama ini.
  Lantaran itu, aku cuba untuk memahami makna yang tersirat dalam himpunan tutur bicara Ilahi. Namun begitu, apakan daya- aku tiada asasnya! Atas dasar itulah hasrat untuk menuntut ilmu di sekolah berasrama tersarang dalam dada. Dan kini? Satu jawapan pun belum aku perolehi. Seringkali aku tersenyum pahit meskipun tatkala berada dalam lingkungan rakan-rakan yang cukup ceria. Benakku sering sahaja bersuara, aku nak belajar Bahasa Arab! Pada waktu itu, aku masih tidak berjaya untuk 'mengasuh' hatiku yang kini luka tegal impian dalam hati tidak kesampaian.

  Suatu hari, genap seminggu lebih aku mengaharungi hidup di sekolah harian, ibuku menyorot wajahku dengan pandangan yang sukar kutafsirkan. Tatkala insan tercinta itu sedang menyiapkan juadah di dapur, aku pun menyelinap masuk ke kamarku buat seketika. Tiba-tiba, tampangnya muncul di pintu bilikku. Sepucuk surat kini dihalakan ke arahku.

"Ini surat Dayah," ujarnya, masih lagi dengan sorotan mata yang mampu memagut hati.

 Hatiku melonjak tiba-tiba. Adakah...Adakah doaku kini telah terjawab? Dengan tangan yang menggeletar, aku mengoyak sampul surat yang tertera dengan logo Jabatan Pelajaran Negeri. Dan saat selepas itu, kurasakan diriku seolah-olah berada dalam alam mimpi. Alhamdulillah! Aku mampu mempelajari Bahasa Arab!

  Senyuman kelegaan kini terukir pada kedua-dua ulas bibirku. Kegembiraan cekatan membalut hati ini sehingga aku tidak perasan akan tampang ibuku yang sayu. Perasaan suka telah menyelubungi diriku pada masa itu sehingga mengaburi air mata yang telah pun bertakung di kolam mata ibuku.

Monday, November 1, 2010

Sedih...Tapi Nak Buat Apa?

 Aku akui, menulis blog memang berhantu. Boleh kata hampir setiap masa senggang aku diisi dengan aktiviti memerah otak untuk dikongsi  bersama. Aku cuba untuk cerita yang terbaik untuk anda semua- aku nak berceritera kepada anda semua tentang kisah yang mampu diambil pengajaran daripadanya. Jadi, aku akan mula coretan aku dengan kisah aku ketika berada di tingkatan 1.

  Pada asalnya, aku hanya bersekolah di sekolah harian lantaran tidak mendapat tawaran ke mana-mana sekolah berasrama. Sewaktu aku sedang berjalan, aku terserempak dengan ustazah yang telah mengajarku sejak berada di Tahun 6. Hendak dibuat cerita, ustazah aku yang terkejut beruk bila nampak aku berada di bumi sekolah itu.

Dia pun tanya, "Hidayah tak dapat tawaran pergi mana-mana ke?".

Aku cuba untuk menyembunyikan raut kecewa (sebab memang aku dah pasang impian nak belajar di sekolah berasrama) dan senyum sambil menjawab, "Tak. Takpelah, kat sini pun boleh belajar, " jawabku, polos.

"Laa, peliknya. Macam mana pulak kamu tak dapat?"

 Itulah ustazah. Macam mana pelajar yang dapat 5A, penyandang gelaran Johan Tulisan Jawi peringkat negeri dan bersih daripada pidana disiplin tak dapat satu tawaran pun nak pergi keluar dari alam sekolah harian?
Aku simpan omelan aku dalam hati. Mana tidaknya, boleh kata dah bergelen-gelen air mata aku habis tegal tak dapat tawaran pergi mana-mana sekolah berasrama.

Akhir pertemuan itu, aku cuma tersenyum sebab dah tak tahu nak jawab apa. Yalah, kalau ustazah tak tahu apa sebabnya, apatah lagi aku. Waktu itu, aku cuma berserah kepada Yang Maha Mengetahui. Buat julung-julung kalinya, aku belajar untuk reda dengan ketentuannya.

Sunday, October 31, 2010

Kenapa 'Kurung Biru'?

 Saat aku menaip ni aku terfikir, "Aku harap aku istiqamah menghidupkan blog ini". Mana tidaknya, blog pertama aku dah lupa passwordnya (bahana banyak sangat email adress) manakala blog kedua yang aku share dengan sahabat aku pun tidak boleh dibuka gara-gara lupa email adress.

 Kenapa pilih Kurung Biru? Aku pilih nama ni sebab aku nak cerita tentang pengalaman, susah payah, gelak tawa dan macam-macam rasa sejak aku sarung baju biru dan pegang jawatan pengawas di SRIS. SRIS tu apa? Kalau boleh aku nak rahsiakan sebab aku tak nak budak sekolah aku tau yang orang yang cukup pendiam dan dikatakan nerd  ada hati, perasaan dan emosi nak curah perasaan kat alam maya.

Kalau ada yang dapat agak aku ni siapa, diam-diamkanlah ye? Biarlah aku menulis sebagai seorang yang cukup rajin untuk kongsi perasaan sepanjang jawatan yang cukup glamor ini tercatuk kat pundak aku. Panggillah aku emo, poyo  dan segala macam gelaran yang anda semua nak bagi kat aku. Aku tahu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa. Aku tahu bila aku dah melangkah ke dunia Kurung Biru ini, aku mesti susah nak toleh ke belakang semula.

Jadi, anda semua sabar sahajalah baca semua post aku, ya?