Total Pageviews

Tuesday, November 2, 2010

Syukur, Alhamdulillah...

 Bila difikirkan semula, kenapa aku beria-ia hendak keluar dari alam sekolah harian? Hati kecilku memberitahu, aku kepingin hendak belajar Bahasa Arab. Ya, sejak khatam Al-Quran kali pertama ketika umurku telah mencecah 12 tahun, aku mula melagukan kalam Ilahi dengan berpandukan Tafsir Al-Quran. Setiap kali meneliti erti sebenar aksara-aksara yang telah disusun indah nian, aku tersentak. Ya Allah, banyak lagi yang perlu aku terokai untuk memahami kalamMu ini! Terkaanku, seseorang Muslim itu dikatakan Muslim yang sejati seandainya dia berkebolehan untuk membaca Al-quran dengan bertajwid. Realitinya, aku telah khilaf selama ini.
  Lantaran itu, aku cuba untuk memahami makna yang tersirat dalam himpunan tutur bicara Ilahi. Namun begitu, apakan daya- aku tiada asasnya! Atas dasar itulah hasrat untuk menuntut ilmu di sekolah berasrama tersarang dalam dada. Dan kini? Satu jawapan pun belum aku perolehi. Seringkali aku tersenyum pahit meskipun tatkala berada dalam lingkungan rakan-rakan yang cukup ceria. Benakku sering sahaja bersuara, aku nak belajar Bahasa Arab! Pada waktu itu, aku masih tidak berjaya untuk 'mengasuh' hatiku yang kini luka tegal impian dalam hati tidak kesampaian.

  Suatu hari, genap seminggu lebih aku mengaharungi hidup di sekolah harian, ibuku menyorot wajahku dengan pandangan yang sukar kutafsirkan. Tatkala insan tercinta itu sedang menyiapkan juadah di dapur, aku pun menyelinap masuk ke kamarku buat seketika. Tiba-tiba, tampangnya muncul di pintu bilikku. Sepucuk surat kini dihalakan ke arahku.

"Ini surat Dayah," ujarnya, masih lagi dengan sorotan mata yang mampu memagut hati.

 Hatiku melonjak tiba-tiba. Adakah...Adakah doaku kini telah terjawab? Dengan tangan yang menggeletar, aku mengoyak sampul surat yang tertera dengan logo Jabatan Pelajaran Negeri. Dan saat selepas itu, kurasakan diriku seolah-olah berada dalam alam mimpi. Alhamdulillah! Aku mampu mempelajari Bahasa Arab!

  Senyuman kelegaan kini terukir pada kedua-dua ulas bibirku. Kegembiraan cekatan membalut hati ini sehingga aku tidak perasan akan tampang ibuku yang sayu. Perasaan suka telah menyelubungi diriku pada masa itu sehingga mengaburi air mata yang telah pun bertakung di kolam mata ibuku.

No comments:

Post a Comment